English | Malay  

Pertama Kali Memandikan Bayi: Panduan untuk Ibu Baru

Diterbit oleh Suzuran Baby Team pada

Sudahkan anda sedia untuk pencapaian terbaharu anda? Anda mungkin ada banyak soalan tentang mandikan bayi baru lahir, terutamanya jika anda ibu baru. Usah risau, alah biasa tegal biasa dan kami sedia bantu anda! Di sini kami ada beberapa panduan untuk membantu anda memandikan bayi anda buat kali pertama.

Bilakah masa yang tepat untuk memandikan bayi anda buat kali pertama di rumah?
Tarik nafas ya.. Sebenarnya anda tidak perlu tergesa-gesa untuk memandikan bayi anda yang baru lahir.

Sebab bayi anda telahpun dimandikan di hospital. Anda boleh menunggu beberapa hari sebelum memandikan bayi anda buat kali pertama di rumah. Dalam tempoh ini, anda boleh memastikan muka, tangan dan punggung mereka sentiasa bersih dengan menggunakan Suzuran Baby Gauze Bath Towel yang dibasahi air suam setiap hari. Ia merupakan kain kasa yang mudah menyerap air dan lembut atas kulit bayi anda.



Berapa kerapkah bayi baru lahir perlu dimandikan?
Anda tidak perlu mandikan bayi baru lahir anda setiap hari kerana mereka tidak kotor – bayi baru lahir tidak berpeluh seperti orang dewasa atau lincah bermain seperti anak kecil. Anda hanya perlu pastikan kawasan berlampin dibersihkan dengan baik (baca artikel Cara untuk membersihkan najis dan kencing bayi dengan efektif). Mandikan bayi anda dua hingga tiga kali seminggu sudah mencukupi. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang memandikan bayi mereka setiap hari sebagai sebahagian daripada rutin tidur - tiada salahnya.



Pada permulaan, mandian lap menggunakan kain basuhan lembap dan suam (Suzuran Baby Gauze Bath Towel) sudah mencukupi untuk membersihkan bayi baru lahir. Tunggu sehingga tali pusat bayi telah kering dan luruh sebelum anda memberikan si manja mandian tab yang pertama, ia biasanya berlaku 10-14 hari selepas bayi dilahirkan.  

Mandian lap untuk bayi baru lahir
Cara ini biasanya digunakan sebelum tali pusat bayi anda luruh untuk mengelakkannya daripada basah.

1. Sediakan semua barangan mandian bayi anda
Ketika ini, anda hanya perlu sebesen air suam dan kain basahan lembut atau tuala kain kasa bayi. Pastikan semua barang mandian bayi anda mudah dicapai agar anda tidak perlu berganjak semasa memandikan bayi.
2. Baringkan bayi anda di atas permukaan yang rata
Anda disarankan agar meletakkan tuala bersih di atas permukaan yang rata. Kemudian, buka pakaian dan lampin bayi anda.
3. Bersihkan sedikit demi sedikit
Angkat atau alihkan bahagian yang kecil pada satu-satu masa dan lap secara lembut menggunakan kain basuhan. Keringkan kulit bayi anda secara lembut, kemudian bersihkan bahagian yang lain pula. Beri perhatian teliti pada kawasan lampin dan sebarang celahan dan lipatan.

Mandian penuh bayi baru lahir
Anda boleh mula memberikan mandian penuh kepada si manja anda apabila tali pusat bayi anda telah luruh sepenuhnya. Anda memerlukan tuala besar, kain basuhan lembut (Suzuran Baby Gauze Bath Towel), sabun dan syampu bayi (jika mahu tetapi tidak wajib), dan pad kapas (Suzuran Baby Antibacterial Cotton or Wet Cleaning Cotton).

1. Isi tab mandi bayi dengan air suam
Isikan tab mandi bayi dengan air suam setinggi 2-3 inci. Suhu mandian untuk bayi baru lahir adalah antara 32oC dan 38oC. Cara yang pantas untuk menguji kepanasan air adalah dengan mencelupkan tangan anda ke paras pergelangan tangan. Jika anda bimbang tentang ketepatan suhu air, anda boleh menggunakan jangka suhu.

2. Lap seluruh badan bayi secara lembut
Gunakan kain basuhan lembut (Suzuran Baby Gauze Bath Towel) dan lap seluruh badan bayi anda secara lembut, termasuk kepala dan muka. Anda boleh memilih untuk mandikan bayi anda dengan sabun dan syampu bayi tetapi bukan semestinya. Gunakan air suam dan kain basuhan lembut sahaja sudah mencukupi untuk membersihkan bayi anda pada peringkat awal.



Pegang bayi anda dan bilaskan air dengan lembut. Anda perlu memangku kepala dan belakang bayi anda semasa memandikannya. Beri perhatian kepada kawasan berikut: 
- Celahan di bawah ketiak
- Belakang telinga
- Kawasan lampin dan alat sulit
- Celahan di antara jari dan jari kaki
- Lipatan di belakang lutut, leher dan peha
- Muka – jika terdapat kotoran atau tahi mata di sekitar mata bayi, anda boleh menggunakan Suzuran Baby Antibacterial Cotton / Wet Cleaning Cotton untuk membersihkan kawasan mata dengan cara gerakan ke luar. 



Jika anda memilih untuk menggunakan syampu, lekapkan tangan anda secara melintang pada dahi bayi semasa membilas agar syampu tidak mengalir ke dalam mata.

3. Keringkan kulit bayi dengan lembut
Selepas mandi, gunakan tuala bayi yang kering (Suzuran Baby Gauze Bath Towel) untuk mengeringkan kulit bayi anda. Selepas itu, anda boleh membalut bayi anda menggunakan tuala yang besar.

Perlukah saya guna losyen dan bedak bayi selepas mandi? Bayi baru lahir mempunyai kulit yang lembut dan anjal, dengan minyak semulajadi. Mereka tidak begitu memerlukan losyen tambahan sebenarnya. Selain itu, pakar pediatrik juga tidak menyarankan penggunaan bedak bayi kerana partikel bedak boleh memasuki paru-paru bayi dan menyebabkan masalah pernafasan.  

Usah bimbang seandainya bayi anda menangis semasa mula-mula dimandikan, ia perkara biasa kerana mandi adalah sesuatu yang baru buat bayi anda. Jangan panik, bimbang atau beranggapan anda telah melakukan sesuatu yang salah. Anda boleh memujuk bayi anda dengan dodoian dan belaian semasa mandi. Dia akan belajar menyesuaikan diri dan akan mula gemar bermain air dan bergembira semasa mandi. 

 

Kongsi artikel ini



← Artikel Lama Artikel Baru →